BIODATA
Beliau telah dilahirkan pada 21 Ogos 1933 di Singapura. Ayahnya seorang kerani yang bekerja di sebuah syarikat hartanah dan aktif dalam kerja-kerja dalam masyarakat Arab. Ibunya seorang suri rumah tangga berasal dari Kemaman, Terengganu. Saudara seibu sebapa Almarhum Syed Ahmad seramai lima orang (tiga lelaki dan dua perempuan), sementara saudara seibu seramai empat orang (dua lelaki dan dua perempuan).
Beliau menjadi yatim ketika berumur 12 tahun. Oleh kerana keadaan hidup keluarga masa itu miskin, maka kerabat dari ayahnya menggalakkan ibunya agar menghantarkan dia dan adiknya Syed Isa ke rumah anak yatim Malja al-Aitam (sekarang bernama Darul Ihsan) supaya mendapat persekolahan. Tetapi beliau tidak kekal lama di rumah anak yatim ini kerana terpaksa bekerja untuk membantu ibu dan adik-adiknya.
Beliau telah mendapatkan pendidikan di Madrasah Aljunied Al- Islamiah hingga ke peringkat menengah akhir. Dalam pembelajaran dia selalu membuktikan yang ia seorang pelajar yang rajin dan maju, terbaik antara rakan-rakannya.
Setelah tamat pengajiannya di Madrasah Aljunied beliau mula bekerja di sebuah firma perdagangan bersama seorang ulama Singapura yang ulung bernama Shaikh Omar bin Abdullah Alkhatib. Melalui kepakaran Tuan Shaikh Omar Alkhatib ini dalam bidang agama Islam dan bahasa Arab, beliau telah mendapat bimbingan mendalam dan menambah ilmu Syariat Islam sehingga beliau membuat pengakuan bahawa beliau telah dapat banyak faedah dari ilmuan Shaikh Omar ini sehingga ia menyatakan bahawa Shaikh Omar adalah shaikh fatehnya.
Walaupun tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, beliau dan sebahagian dari rakan-rakannya khasnya dari kelulusan Madrasah Aljunied tidak pernah putus dari kelas tadarus mingguan pada tiap pagi hari Ahad bersama-sama ulama setempat untuk bertadarus dalam ilmu Tafsir, Hadis dan tasauf, dan juga pada tiap malam Jumaat dalam bidang yang sama tetapi membaca kitab-kitab yang berlainan. Kelas tadarus ini sentiasa dilaksanakan sepanjang tahun tanpa terhenti melainkan pada bulan Ramadan atau pada hari-hari yang tertentu sahaja seperti cuti Hari Raya.
Perniagaan beliau bersama Tuan Shaikh Omar tadi telah meransangnya untuk mengimport kitab-kitab rujukan agama bagi membantu keperluan pelajar madrasah setempat dan negara jiran. Beliau telah membentuk firma ini bagi tujuan yang tersebut dengan nama: al-Maktab at-Tijari ash-Sharqi(Pustaka Nasional) dengan visi dan misi baru bagi memperluaskan kerja-kerja dakwah. Beliau kemudian mulai menterjemah dan mencetak banyak buku-buku agama yang menuju ke matlamat itu.
Beliau menjadi penasihat Persatuan Ulama dan Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan Kumpulan Pemulihan Agama.